Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan Bumiputra Malaysia (1991) telah ditubuhkan pada 1991 oleh sekumpulan usahawan Bumiputra yang prihatin kepada kemajuan dan penglibatan Bumiputra dalam industri berasaskan kayu serta berusaha memajukan perusahaan ini secara lebih bersepadu.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kedua pada 1994, nama persatuan telah ditukar kepada Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia atau nama ringkasnya PEKA.
Keahlian PEKA terus bertambah dan mereka terdiri dari pengusaha di berbagai sektor sebagai Pembalak, Pengilang Kayu, Pengilangan Perabot & Komponen, Pedagang Kayu & Perabot, Pengendali Jeti serta Ahli Profesional.
Peranan yang dimainkan oleh PEKA semakin mendapat tempat pengiktirafan di kalangan badan kerajaan , sektor awam, sektor swasta serta umum.
PEKA menjadi satu-satunya persatuan Bumiputra yang diiktiraf oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai pemayung perusahaan kayu-kayan serta menjadi ahli Lembaga Pengarahnya selain dari berbagai Jawatankuasa yang diwujudkan untuk menjadi perantara serta memantau kepentingan Bumiputra keseluruhannya.
Kini PEKA memainkan peranan mewakili kepentingan pengusaha kayu-kayan dan perabot Bumiputra dalam bidang pembangunan infrastruktur, penyediaan kemudahan teknikal, perkhidmatan, pasaran, latihan dan kesatuan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selaras dengan perubahan polisi ekonomi sejagat dan persaingan yang semakin hebat, PEKA sentiasa menjana idea yang kreatif dan bersifat proaktif supaya Persatuan ini terus relevan dan dapat menjana kepentingan Ahlinya serta sentiasa bekerjasama dengan semua agensi dan berbagai pihak supaya hasrat penubuhannya terjaga.